BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, July 28, 2010

Black Metal


Gejala sosial “black metal” bukan lagi perkara baru dikalangan pelajar dan remaja di Malaysia. Bahkan gejala ini semakin menjadi-jadi umpama “cendawan tumbuh selepas hujan”. Black metal dapat didefinisikan sebagai kumpulan yang bersendikan kepada pemujaan syaitan yang telah diasaskan di barat dan terkenal dengan muzik berentak keras, bingit serta liriknya kasar, menjerit dan tidak jelas sebutannya. Mesej yang dibawa dalam setiap lagu mereka pula menolak kewujudan tuhan, menggalakkan seks rambang dan keganasan. Kumpulan black metal juga menggalakkan bunuh diri dan berfahaman bebas. Malah lagu-lagu mereka bukan sahaja pelik bahkan tidak merdu langsung mengikut definisi muzik. Oleh sebab itu, tidak hairanlah ada pihak menggatakan inilah “bunyi syaitan” tetapi dianggap indah oleh pengikutnya. Kesimpulan kecil yang dapat dibuat mengenai black metal, mereka mahukan kebebasan dan benci peraturan.

Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial black metal kian meningkat. Jika ditinjau sepintas lalu, gejala sosial ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti pelajar dan remaja terutama remaja melayu. Masalah sosial black metal ini sebenarnya masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana kelekaan diri sendiri. Selain itu, gejala black metal ini merupakan masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu. Kjegiatan black ini metal adalah satu kegiatan yang berunsurkan pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.

Hasil daripada siasatan, polis mendapati 10 pelajar dari sebuh sekolah menengah di parit buntar mula terbabit dengan kumpulan black metal sejak tahun 1999. Selain itu, ada diantara pelajar berkenaan terbabit dalam upacara membakar ayat al-quran dan mengikuti upacara yang diketuai “tok guru” yang berselubung hitam. Hal ini menunjukkan bukti yang jelas bahawa pelajar dan remaja kini telah tumbang ke lembah yang gelap dan hina. Akibat daripada ketandusan akidah, terutama pelajar islam mula terpengaruh dengan agenda yahudi dengan menafikan tauhid uluhiyyah. Sememangnya perkara ini sangat menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar dan remaja islam di Negara ini yang terpengaruh dengan gejala yang kurang sihat ini.

Punca berlakunya gejala sosial black metal ini adalah pengaruh media massa seperti televisyen yang merupakan medium yang mempunyai pengaruh terbesar terhadap masyarakat. Sebagai contoh masyarakat kita terutamanya golongan remaja akan terpengaruh dengan filem –filem bermutu rendah yang ditayanagkan di stesen-stesen telivisyen dan pemangkin kepada lahirnya gejala sosial seperti bohsia, bohjan, black metal, seks bebas, dan samseng. Tambahan pula remaja mempunyai perasaan inkuiri atau sifat ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu perkara baru. Sifat ingin tahu inilah yang mendorong remaja mencuba, meniru aksi dan melakukan gejala sosial tersebut seperti yang ditayangkan oleh stesen-stesen telivisyen.

Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berlakunya gejala sosial black metal. Hal ini dapat dibuktikan melalui pergaulan bebas remaja yang menyebabkan mereka terjebak dalam kancah negatif dan aktiviti - aktiviti yang tidak berfaedah. Pergaulan rapat dengan rakan yang rendah kedudukan moralnya ini sememangnya menyumbangkan pengaruh terhadap remaja. Hal ini kerana rakan adalah orang yang paling hampir dengan individu selain daripada ibu bapa. Malahan remaja lebih suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan berbanding dengan ibu bapa kerana kekangan tertentu. Selain itu, remaja lebih selesa menceritakan masalah mereka kepada rakan-rakan kerana hubungan yang terjalin melahirkan dasar kepercayaan melalui pengalaman yang boleh dikongsi bersama. Secara tidak langsung, keperibadian seseorang remaja di pengaruhi oleh rakan sebaya.

Langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah black metal ini adalah peranan ibu bapa yang amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak – geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa haruslah meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi dan membentuk keperibadian anak-anak dengan menjadikan ibu bapa sebagai role model.

Dewasa ini,semakin banyak filem yang di import dari luar khasnya dari barat. Oleh hal yang demikian,langkah untuk mengatasi gejala black metal ini adalah dengan kerjasama stesen televisyen kerajaan dan juga swasta haruslah menapis dan menyaring filem-filem dari barat ini dan tidak seharusnya memikirkan keuntungan semata-mata. Hal ini kerana kebanyakkan cerita-cerita dari barat ini mempunyai unsur-unsur yang kurang sesuai dengan adat dan budaya masyarakat kita. Sebaliknya, badan-badan penyiaran tempatan sama ada kerajaan atau swasta mesti berkerjasama dalam memperbanyakkan rancangan-rancangan tempatan yang menekankan unsur-unsur moral dan hiburan yang sesuai dengan kebudayaan kita.

Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja kita pada hari ini amat mencemaskan. Tindakan untuk mengawal sudah sampai ke tahap dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan Negara dan generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai gejala sosial remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan tertumpu pada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan, tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus. Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat perlulah berganding bahu dan berkerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak. Kerajaan juga perlu melancarkan kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala sosial yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar mereka berasa takut dengan hukuman yang bakal diterima. Seterusnya, remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorak masa depan Negara. Remaja juga adalah asset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di Negara ini. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja haruslah dibendung dan diatasi supaya tidak terus mewujudkan ancaman besar kepada aset yang tidak ternilai ini.


0 comments: