Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Terdapat definisi lain yang menyatakan bahawa buli bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, tenteram dan harmoni. Menurut kamus dewan edisi ke-4, buli boleh didefinisikan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru.
Kenapakah mereka sering membuli?
Antara faktor-faktor yang membawa kepada perlakuan buli :
• Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat untuk mengubah tingkah laku seseorang pelajar.
• Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka.
• Mereka pernah menjadi mangsa buli.
• Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak hyperactive atau cergas yang melampau yang sering bersikap tidak mengambil peduli perasaan orang lain.
• Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
• Tertekan dengan masalah kekeluargaan seperti perceraian ibubapa.
• Membuli pelajar lain merupakan salah satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan ketika di sekolah.
• Marah dan benci pada pelajar yang disayangi oleh guru.
• Ingin menunjukkan kekuatan sendiri.
• Faktor terakhir yang mungkin memainkan peranan penting ialah media massa yang memaparkan aksi, pertuturan, dan tingkah laku yang negatif sehingga menjadi ikutan golongan remaja.
Perbuatan buli juga melibatkan pelajar perempuan.
Ramai beranggapan perbuatan buli hanya melibatkan pelajar lelaki. Tetapi sebenarnya pelajar perempuan juga turut terlibat dalam perbuatan tersebut. Biarpun peratusannya agak sedikit, namun perkara tersebut mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak dibendung. Buli di kalangan pelajar perempuan biasanya melibatkan ejekan dari segi fizikal. Contohnya, sekiranya pelajar perempuan tersebut berbadan besar, mereka akan menjadi sasaran untuk dijadikan bahan ejekan. Namun, perbuatan buli di kalangan pelajar perempuan tidak terlalu ganas seperti pelajar lelaki.
Jenis-jenis buli
Buli fizikal
Melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan. Perbuatan yang ganas boleh menyebabkan kematian.
Buli mental / verbal
Lebih kepada mengusik, menghina dan ejek-mengejek. Misalnya, jika nama pelajar atau nama bapa pelajar agak luar biasa, maka itu akan dijadikan bahan ejekan pelajar senior yang membuli. Walaupun kes buli jenis ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius berlaku di sekolah.
Buli antisosial
Tingkah laku yang berkaitan dengan buli antisosial ialah seperti memulau, mengata, memfitnah dan merosakkan harta benda. Tingkah laku ini merupakan tingkah laku buli secara tidak langsung.
Kesan buli
Pembuli
Kesan luaran:
• Apabila dewasa kelak, kemungkinan besar akan menjadi penjenayah.
• Bertindak agresif apabila dewasa seperti merogol, merompak, atau menjadi seorang pendera terhadap kanak-kanak dan wanita.
Mangsa buli
Kesan luaran
• Mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya untuk mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli.
• Mereka akan mengalami kecederaan dan mungkin boleh menyebabkan kematian.
Kesan dalaman
• Hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, mengalami kemurungan sehingga sanggup mencederakan diri sendiri dan sebagainya.
Rumusan
Sudah banyak kes yang mendedahkan mangsa menerima rawatan di hospital serta mengakibatkan kematian kerana terlalu teruk dibuli seperti kes Mohammad Naim Mustaqim, 16, dalam laporan akhbar Transisi edisi ketiga Julai 2010.
Peranan ibu bapa, penghayatan terhadap agama, pengawasan pihak sekolah, kempen dan penguatkuasaan undang-undang adalah langkah proaktif bagi memastikan kanak-kanak yang sedang melangkah ke alam remaja tidak terlibat dalam masalah ini. Perhatian daripada ibu bapa adalah amat penting kerana mereka yang paling hampir dengan anak mereka. Begitu juga dengan pengawasan dari pihak sekolah terutamanya ketika berada dalam kawasan sekolah. Penghayatan agama juga patut diterapkan tidak kira apapun agamanya. Penguatkuasaan undang-undang juga dapat menjamin keselamatan pelajar daripada terlibat atau menjadi mangsa.
Ringkasnya, gejala ini mampu ditangani jika semua pihak bersedia untuk mendengar dan duduk untuk berbincang. Usah kita menuding jari kerana masa depan pelajar terletak pada kewarasan kita menyelesaikan kemelut ini. Kalau kita bijak bertindak,masa depan pelajar akan lebih cerah.
0 comments:
Post a Comment